Saturday, 9 June 2012

Apa itu matawang fiat?

Mungkin ada ramai yang telah mengetahui asal usul kenapa wujudnya wang. Suatu masa dahulu, ketika wang tidak wujud, manusia menjalankan sistem barter untuk memenuhi keperluan hidup. Contohnya jika seseorang yang bernama A menternak kambing dan perlukan beras untuk memasak nasi, A akan mencari sesiapa yang mempunyai beras dan memerlukan kambing untuk bertukar barang dengannya. Jadi jika seseorang yang bernama B mempunyai dua guni beras dan memerlukan kambing untuk dijadikan lauk, baru lah pertukaran yang adil boleh berlaku. Selagi A tidak berjumpa dengan seseorang yang memerlukan kambingnya, A perlu membawa kambingnya ke sana ke mari untuk mencari orang yang berkeinginan sama dengannya. Itu adalah dahulu, di mana hidup manusia adalah lebih mudah dari sekarang. Manusia pada ketika itu hidup sekadar ingin meneruskan hidup sehari-hari dan sukar dicari manusia yang berwawasan dan ingin memperbaiki kehidupannya pada kadae yang lebih baik.

Tetapi apabila zaman berubah, kehendak manusia semakin susah untuk dipenuhi. Jika dikira dengan harga, kambing bernilai lebih kurang RM700 seekor. Bagaimana pertukaran yang adil dapat diberikan jika seseorang bernama C yang menginginkan seekor kambing tetapi tidak mempunyai apa yang pemilik kambing itu mahu? Ini akan menyebabkan pertukaran berlaku berulang-ulang kali sebelum C dapat memiliki kambing tersebut.

Atas sebab itu, wang diwujudkan untuk memudahkan urusan seharian. Pada mulanya wang adalah dalam bentuk wang komoditi, di mana wang itu sendiri mempunyai nilai yang boleh didagangkan. Contohnya wang dinar yang dibuat dari emas.

Namun begitu, atas sebab peristiwa Nixon Shock yang berlaku pada tahun 1971 semasa pemerintahan presiden Nixon di US, wang komoditi telah digantikan dengan penggunaan wang fiat dengan lebih meluas. Wang fiat adalah wang yang nilainya ditentukan oleh undang-undang dan bukan adanya barangan dan perkhidmatan. Dengan ertikata mudah, wang fiat hanyalah nilai yang laku atas kertas dan selagi kerajaan sesebuah negara mengesahkan nilai yang tertulis pada wang tersebut.

Bagaimana pula di Malaysia? Adakah Malaysia menggunakan matawang fiat atau matawang komoditi? Sudah tentunya Malaysia menggunakan matawang fiat. Ingat lagi dengan matawang semasa pemerintahan Jepun di Malaysia iaitu matawang pokok pisang?

Selepas tamat sahaja perang, matawang ini tidak lagi laku di Malaysia. Malah, jika anda ingat, kerajaan telah beberapa kali menamatkan penggunaan syiling atau wang kertas sebagai contoh penggunaan duit kertas RM1 yang lama, RM1 syiling dan syiling satu sen.


Di sini diharap supaya kita jelas apa itu wang fiat. Atas sebab wang fiat itu sendiri adalah nilai yang tercatat atas kertas, kekuatan sesebuah matawang itu banyak ditentukan oleh keadaan ekonomi atau kadar inflasi bagi negara itu sendiri. Kesimpulannya, matawang fiat boleh menyimpan nilai, selagi ia diperakui oleh undang-undang. Namun begitu nilainya adalah didapati semakin berkurangan. Sebagai contoh, jika dahulu sepinggan nasi kosong adalah 60 sen, sekarang sepinggan nasi kosong adalah berharga RM 1.50. Ini adalah bermaksud, jika kita ambil dari pandangan yang mudah, jika kita simpan wang RM 1 pada tahun 2000, anda boleh membeli sepinggan nasi pada tahun 2000. Tetapi pada masa sekarang, RM 1 tersebut telah jatuh nilainya. Anda perlu tambah lebih wang untuk mendapatkan sepinggan nasi yang sama.

Wallahua'lam.

Ikhlas,

Zakq Innovations

No comments:

Post a Comment